SHAH ALAM, 31 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM50,000 bagi kerja-kerja membaik pulih Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, Telok Panglima Garang yang terjejas akibat bencana puting beliung.
Menurut PWS, inisiatif itu mencerminkan peranan strategik wakaf sebagai instrumen pemulihan komuniti, khususnya dalam memastikan kemudahan pembelajaran dapat dipulihkan segera demi keselesaan dan keselamatan pelajar serta warga pendidik.
“Serahan cek cura telah disampaikan oleh Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS, Ustaz Ibnu Hubain Abdul Aziz dan diterima oleh Guru Besar SRA Kampung Medan, Tarmilah Wage.
“Sumbangan ini juga sebagai tanda keprihatinan serta komitmen berterusan PWS dalam membantu institusi pendidikan agama yang terkesan akibat bencana,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, PWS turut menyeru masyarakat agar terus berwakaf kerana setiap sumbangan mampu menyokong usaha pemulihan, kelestarian pendidikan serta kesejahteraan ummah secara menyeluruh.
Pada 15 Oktober lalu, media melaporkan seramai 11 murid SRA Kampung Medan cedera ringan dalam kejadian ribut dan puting beliung yang turut merosakkan 40 buah rumah, lima sekolah dan sebuah dewan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, angin kencang dan puting beliung itu mengakibatkan kerosakan serius terhadap harta penduduk serta bangunan sekolah.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai bencana Tahap 1, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


