SHAH ALAM, 30 JAN: Sebanyak 12 kenderaan terbiar disita Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sekitar Bandar Mahkota Cheras dan Bandar Sungai Long, 22 Januari lalu.
MPKj menerusi Facebook memaklumkan kenderaan tersebut disita mengikut Seksyen 46 (1)(e) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan dihantar ke Stor Kenderaan Terbiar bagi tindakan lanjut.
"Operasi melibatkan pemeriksaan di Jalan Shahbandar, Jalan Inang, Jalan Permaisuri, Vista Mahkota Hill, Jalan Penghulu, Jalan SL 17/2 Bandar Sungai Long dan Taman Cheras Hartamas.
"Orang ramai terutama pemilik kenderaan diingatkan agar tidak meninggalkan kenderaan sehingga terbiar kerana ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan kebersihan kawasan," katanya.
MPKj memaklumkan pihaknya akan memastikan operasi berkenaan dijalankan secara berterusan bagi memastikan isu kenderaan terbiar ini dapat ditangani dengan berkesan.
"Pihak kami akan sentiasa memberi komitmen berterusan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.


