KLAB 2026: IBDE tawar potongan harga hingga 20 peratus, lancar naskhah baharu

30 Jan 2026, 12:00 AM

SHAH ALAM, 30 JAN: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus kepada pembaca setia sempena Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2026 yang berlangsung hari ini hingga 3 Februari ini di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata diskaun itu diberikan khas kepada ahli berdaftar dengan pembelian minimum tiga naskhah buku di reruai penerbitan berkenaan.

“Kepada Bukuwan IBDE, iaitu program keahlian untuk pembaca setia kami, anda boleh mendapat potongan harga sehingga 20 peratus. Caranya adalah daftar sahaja secara percuma.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman menunjukkan antara buku terbitan agensi itu di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Kita mahu meraikan pembaca setia kami. Mereka akan dapat diskaun tersebut dengan pembelian tiga buku ke atas. Pendaftaran boleh dibuat di laman web atau di reruai,” katanya kepada Media Selangor.

Ainunl Muaiyanah menambah, IBDE turut menyediakan pelbagai aktiviti antaranya cop ilustrasi oleh Saharil Conteng serta dua program bual bicara bersama penterjemah.

Menurutnya, IBDE juga akan membawa naskhah baharu iaitu Basikal Curi yang diterjemah daripada novel, The Stolen Bicycle karya Wu Ming-Yi, pemenang Anugerah Sastera Negara Taiwan.

“Lebih menarik, kita juga ada kejutan buku istimewa iaitu buku Kongsi Gelap Cina yang akan dilancarkan bila-bila masa dari sekarang,” katanya.

KLAB 2026 yang diadakan dengan tema 'Berani Kerana Beruang' akan menampilkan lebih 80 pempamer, bermula hari ini sehingga 3 Februari di Pasar Seni, Kuala Lumpur.