ad

IBDE tawar lapan judul baharu, diskaun hingga 25 peratus di SIBF 2025

27 Nov 2025, 4:00 AM
IBDE tawar lapan judul baharu, diskaun hingga 25 peratus di SIBF 2025

SHAH ALAM, 27 NOV: Orang ramai boleh mendapatkan lapan naskhah terbaharu terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 yang bermula esok hingga 7 Disember.

Pengurus Kanan Jualan dan Pembangunan Perniagaannya berkata daripada jumlah itu, dua judul adalah terbitan sempena Kepengerusian Asean Malaysia 2025 iaitu Gelut Hanoi dan Kembara ke Angkor yang diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor.

Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata tajuk lain adalah Tangan-Tangan Berdarah di Gaza, Perisik dan Pembelot, Memahami Ekonomi, Wayang Politik, Ilmu Turath dan Muhaddisat selain 85 judul lain yang dibawa sempena SIBF 2025.

“Dua buku itu yang diterbitkan sempena Kepengerusian Asean Malaysia tahun ini, untuk pembaca mengenali dan memahami topik Asean,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Ainunl Muaiyanah IBDE turut menawarkan potongan harga sehingga 25 peratus bagi pembelian sepanjang SIBF, selain membuka pendaftaran keahlian Bukuwan IBDE dengan pelbagai cenderamata secara percuma.

“Jadi datang beramai-ramai ke reruai IBDE iaitu PF03 dan jangan lepaskan peluang mendaftar sebagai Bukuwan IBDE dan dapatkan cenderamata percuma seperti kalender dan pelekat,” katanya.

Bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam pesta buku tahunan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Selain menawarkan pelbagai buku daripada penerbit tempatan dan antarabangsa, SIBF 2025 turut menampilkan sesi bual bicara penulis, bengkel kreatif dan aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi wajib bagi pencinta buku dan penggiat ilmu.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri aktif menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, termasuk naskhah klasik yang berusia ribuan tahun.

Karya terbitan IBDE, sebahagiannya dihasilkan dengan kerjasama Media Selangor, turut boleh diperoleh di Kedai Buku Rencana, Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara dalam talian menerusi pautan bukuibde.com.