SELKitar: MPKL kutip 33,366kg bahan kitar semula tahun lalu

29 Jan 2026, 12:01 PM
SELKitar: MPKL kutip 33,366kg bahan kitar semula tahun lalu

KUALA LANGAT, 29 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengutip 33,366 kilogram (kg) bahan kitar semula menerusi program Selangor Kitar Semula (SELKitar) di daerah itu tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Ahmad Zaki Yusof berkata operasi kutipan SELKitar melibatkan lebih 35,351 unit rumah dan 100 taman perumahan di kawasan pentadbiran MPKL.

“Daripada jumlah keseluruhan kutipan, bahan kitar semula paling banyak dikumpulkan ialah kertas sebanyak kira-kira 19,942 kg, diikuti kotak (7,862 kg) dan plastik (5,297 kg).

“Bahan lain yang turut dikumpulkan termasuk aluminium, besi dan logam. Untuk tahun 2025, jumlah kutipan yang direkodkan bersamaan 1,827.73 tan,” katanya kepada Media Selangor selepas majlis perasmian SELKitar MPKL.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Ahmad Zaki Yusof bercakap kepada media selepas merasmikan Program Kitar Semula Selangor (SELKitar) anjuran MPKL bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat dan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Dewan Sri Jugra, Kuala Langat pada 29 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, bagi memastikan kesinambungan program serta memudahkan akses penduduk, pelaksanaan SELKitar dijalankan secara berkala setiap bulan di lokasi tumpuan.

Katanya, program itu diadakan pada minggu ketiga setiap bulan di Pasar Awam Banting, manakala Dataran Medan Selera Batu Laut pula menjadi lokasi pelaksanaan pada minggu pertama setiap bulan.

“MPKL turut menyokong inisiatif kitar semula pakaian terpakai menerusi penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai oleh Persatuan Amal Kitar Semula Malaysia.

“Sebanyak 43 unit tong telah ditempatkan di sekitar daerah Kuala Langat, dengan jumlah kutipan pakaian terpakai direkodkan sebanyak 35,115 kg,” ujarnya.