SHAH ALAM, 29 JAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor digalakkan menyediakan laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mengikut pentadbiran masing-masing, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyediaan laporan seperti yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuktikan komitmen PBT dalam melaksanakan agenda pembangunan mampan 2030, sekali gus memastikan tadbir urus yang lebih inklusif.
“Laporan ini menunjukkan kesediaan PBT mematuhi garis panduan SDG, antaranya berkaitan kemiskinan dan penyediaan infrastruktur. Setiap PBT mempunyai fokus berbeza sama ada melibatkan pendidikan, kemiskinan atau isu lain.
“Setakat ini, terdapat PBT yang baru memulakan laporan buat kali pertama dan kita menggalakkannya. Namun, pelaporan ini bukan mudah kerana ia menambah beban kerja sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian dan penzahiran laporan VLR SDG Shah Alam Siri Kedua, di sini, hari ini.
Terdahulu, MBSA menerbitkan laporan VLR siri kedua selepas pembentangan pertama pada 2021 yang merekodkan pelbagai kejayaan.
Menerusi laporan itu, MBSA menghimpunkan kemajuan terkini, pencapaian strategik serta usaha penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan SDG di Shah Alam.
Dalam ucapannya, Amirudin berkata penerbitan laporan VLR turut membantu PBT menilai tahap kemampanan pentadbiran di kawasan masing-masing.
“Ia bukan sekadar alat mengukur keupayaan, malah membantu memperkukuh tadbir urus dan hala tuju pentadbiran yang lebih baik. Apabila kualiti kehidupan rakyat bertambah baik, PBT akan lebih dihormati.
“Pada masa sama, ahli majlis, pegawai serta wakil penduduk yang dilantik perlu bekerjasama rapat dengan PBT supaya perancangan dapat dilaksanakan dan manfaatnya dinikmati rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Adzhar berkata laporan VLR siri kedua itu akan dibentangkan pada Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Julai depan.
“Gerak kerja dan pencapaian MBSA yang proaktif menjadi pemangkin kepada penerbitan laporan siri kedua ini, yang telah diluluskan Jawatankuasa Perancang Negeri pada Julai tahun lalu.
“Melalui laporan ini, MBSA dapat memetakan dasar, program dan inisiatif bandar kepada indikator SDG, sekali gus mengenal pasti kekuatan serta jurang untuk tujuan penambahbaikan,” katanya.




