KUALA LANGAT, 29 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluas pelaksanaan Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) di daerah itu.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan menerusi kerjasama berkenaan, program SELKitar akan dilaksanakan di 30 sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam kawasan pentadbirannya sepanjang tahun ini.
“Program ini merangkumi pengisian taklimat dan ceramah kesedaran, penganjuran pameran di lima buah sekolah terpilih, serta pembukaan kaunter Eco Cash MPKL bagi memudahkan pengumpulan dan penjualan bahan kitar semula oleh warga sekolah.
“Sebanyak empat sekolah menengah, 21 sekolah kebangsaan dan lima IPT menyertai program ini melalui kerjasama KDEBWM dengan PPD Kuala Langat,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata setiap sekolah dan IPT yang menyertai SELKitar akan diberi satu set tong kitar semula dan wang tunai intensif RM300 bagi mempromosikan kitar semula.
“Intensif tong sampah kitar semula 3R (reduce, reuse, recycle) disediakan dengan saiz kecil supaya lagi mudah dan sistematik untuk mereka kumpulkan bahan kitar semula di sekolah masing-masing
“Dengan melihat tong sampah yang comel ini, ia akan menarik perhatian dengan mendidik anak-anak di sekolah untuk mengasingkan bahan seperti plastik, kertas, High-Density Polyethylene (HDPE) dan Polyphenylene Ether (PPE),” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Pada April lepas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan peruntukan RM30,000 kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melaksanakan program kitar semula di peringkat komuniti.






