SHAH ALAM, 29 JAN: Komitmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam pembangunan mampan terus diiktiraf apabila memenangi Anugerah Gangsa kategori Hartanah pada Putra Aria Brand Awards 2025 di Hotel The Majestic, Kuala Lumpur.
Menurut PKNS, kejayaan itu menunjukkan kepercayaan orang ramai terhadap PKNS sebagai organisasi pembangunan hartanah yang dipercayai dan progresif.
“Pencapaian ini mengukuhkan komitmen kami terhadap relevan, kredibiliti dan kecemerlangan jenama dalam landskap pembangunan hartanah,” kata agensi itu dalam kenyataan.
Putra Aria Brand Awards merupakan platform pilihan rakyat, yang mendapat sokongan pihak berkepentingan utama industri, bagi menghargai jenama yang berjaya membina hubungan bermakna dan berterusan dengan rakyat Malaysia.
PKNS menegaskan, kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus menyampaikan pembangunan mampan, memperkukuh komuniti dan mewujudkan nilai jangka panjang bagi pertumbuhan negeri Selangor.


