Pendaftaran tahun satu 2027 dibuka secara dalam talian mulai 15 Februari

28 Jan 2026, 1:49 PM
Pendaftaran tahun satu 2027 dibuka secara dalam talian mulai 15 Februari

SHAH ALAM, 28 JAN: Pendaftaran murid tahun satu bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, memaklumkan pendaftaran boleh dibuat melalui Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) menerusi laman https://idme.moe.gov.my.

Menurutnya, pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia kohort enam tahun yang lahir antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021 serta kohort tujuh tahun, iaitu lahir dari 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.

"Langkah ini selaras keputusan kerajaan yang membuka peluang kepada kanak-kanak berusia enam tahun memasuki tahun satu bermula 2027 secara sukarela tanpa perlu menduduki ujian saringan," katanya lapor Sinar Harian.

Tambah beliau, ibu bapa dan penjaga disarankan mendaftar akaun di Sistem Pengurusan IDentiti (idMe), mengemas kini maklumat peribadi dan mengemukakan permohonan menerusi MOEIS dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

"Maklumat lanjut boleh dirujuk melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau pejabat pendidikan daerah (PPD)," ujarnya.

Inisiatif menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu merupakan langkah progresif Kerajaan Madani bagi memastikan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak serta mengelakkan mereka tercicir dalam pendidikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan murid akan memasuki alam persekolahan darjah satu pada usia enam tahun bermula tahun depan secara sukarela.

"Pendidikan prasekolah yang diletakkan sepenuhnya di bawah KPM akan bermula pada usia lima tahun," katanya pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.