KPM cadang wajibkan kemasukan Tahun Satu usia enam tahun mulai 2029

24 Nov 2026, 8:20 AM
KPM cadang wajibkan kemasukan Tahun Satu usia enam tahun mulai 2029
KPM cadang wajibkan kemasukan Tahun Satu usia enam tahun mulai 2029
KPM cadang wajibkan kemasukan Tahun Satu usia enam tahun mulai 2029

SHAH ALAM, 24 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2029 selepas pelaksanaan secara pilihan pada 2027 dan 2028.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata tempoh tiga tahun itu dimanfaatkan bagi memastikan persediaan kurikulum, latihan guru, prasarana dan bilik darjah dilaksanakan secara berterusan.

“Apabila kita tetapkan wajib pada 2029, bermakna usaha ini akan dilaksanakan dari hari ini, 2026, sampailah 2029.

“Kita tidak mahu inisiatif yang sudah dirancang ini akhirnya terhenti sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada sesi Taklimat KPM bersama Media di sini, hari ini, lapor Harian Metro.

Dr Mohd Azam berkata KPM yakin mampu melaksanakan dasar berkenaan termasuk menerusi penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membolehkan pembinaan bilik darjah disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, kementerian turut mempunyai mekanisme lain bagi mengurus penempatan murid termasuk sistem persekolahan dua sesi dan penyuraian murid ke sekolah yang mempunyai enrolmen lebih rendah.

Aspek kurikulum dan latihan guru juga disesuaikan dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak berusia enam tahun, selain mengambil kira perubahan cabaran pendidikan pada masa depan.

“Anak-anak pada usia muda pun sudah mempunyai akses kepada pengetahuan dan maklumat yang luas. Jadi, potensi mereka perlu dimanfaatkan,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan dasar wajib itu turut memerlukan pindaan Akta Pendidikan, manakala rayuan kemasukan secara pilihan diteliti berdasarkan kesediaan bilik darjah dan kapasiti sekolah.

Setakat 30 September lalu, 491,649 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 diterima, membabitkan 73,498 kanak-kanak kohort usia enam tahun dan 418,151 kohort usia tujuh tahun.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.