Prasekolah bermula usia lima tahun, darjah satu enam tahun mulai 2027

20 Jan 2026, 5:47 AM
Prasekolah bermula usia lima tahun, darjah satu enam tahun mulai 2027

SHAH ALAM, 20 JAN: Mulai tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, manakala darjah satu dibuka untuk kanak-kanak berumur enam tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman itu dibuat pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, namun penyesuaian ini masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, lapor Sinar Harian.

"Untuk tahun 2027, kita belum mewajibkan. Ada ibu bapa yang mungkin merasakan anak mereka belum bersedia. Anak berumur tujuh tahun masih boleh masuk Darjah Satu, tetapi digalakkan bermula lebih awal," ujarnya.

Anwar menjelaskan langkah ini sejajar dengan perubahan masa dan tuntutan zaman, kerana anak-anak kini lebih awal matang dan mampu memahami konsep kompleks pada usia lima tahun.

Beliau menegaskan, sistem prasekolah akan diberi tumpuan menyeluruh, diambil alih dan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau turut memberi jaminan bahawa segala persiapan mengenai perkara tersebut akan disegerakan.

"Sebab itu, saya arahkan mulai sekarang hal yang diumumkan itu perlu ada tindakan cepat oleh kementerian terlibat untuk pastikan segala kemudahan asas ditambah," katanya.