SHAH ALAM, 27 JAN: Seruan menghasut umat Islam memboikot zakat susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang berpotensi menjejaskan hak dan kebajikan golongan asnaf di Selangor.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Salehuddin Saidin berkata, tindakan berkenaan dikesan tular di media sosial apabila pihak tertentu menggesa orang ramai supaya tidak menunaikan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta menghentikan pelaksanaan wakaf di negeri ini.
“Kenyataan dan reaksi salah seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Fikk(@riieey_f) di media sosial susulan satu muat naik di platform Threads semalam yang menggesa orang Islam tidak membayar zakat kepada LZS serta tidak melaksanakan wakaf di negeri ini adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Seruan boikot ini amat tidak bertanggungjawab kerana ia memberi kesan langsung kepada kebajikan lapan golongan asnaf di Selangor serta usaha membangun dan memajukan harta wakaf untuk manfaat umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Salehuddin menegaskan, isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 tertakluk sepenuhnya kepada bidang kuasa Kerajaan Selangor, dan semua tindakan penguatkuasaan sedang dijalankan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut menegaskan LZS bertanggungjawab mengurus, mengutip dan mengagihkan zakat kepada asnaf bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka, manakala Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pula berperanan mengurus, membangun dan memajukan harta wakaf secara berterusan.
“Tindakan mengajak masyarakat memboikot zakat dan wakaf hanya akan merugikan umat Islam sendiri serta menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Islam di Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan melibatkan tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di negeri ini.
Tambah beliau, sekiranya tanah terlibat merupakan tanah Kerajaan Negeri yang diwartakan bagi maksud awam untuk tujuan agama Islam, MAIS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi, tuduhan atau menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan isu berkenaan dan hanya merujuk kepada saluran rasmi pihak berkuasa bagi mendapatkan pengesahan.
Terdahulu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam berkata tapak ganti yang dikaitkan dengan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam oleh dua kuil dan sebuah gurdwara di PJS4 di Petaling Jaya, tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.
Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, semakan bersama Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh akhir pengosongan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya, susulan pencerobohan yang tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan tanah berkenaan bukan tanah wakaf seperti didakwa, sebaliknya tanah perkuburan Islam yang telah diwartakan dan berada di bawah bidang kuasa JAIS.
Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata pewartaan dibuat mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965, sekali gus menolak dakwaan kononnya tanah tersebut adalah milik wakaf di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).


