Sukatan pelajaran JAIS 'kiblat' sekolah agama Kemboja

12 Mac 2026, 4:00 AM
Sukatan pelajaran JAIS 'kiblat' sekolah agama Kemboja
Sukatan pelajaran JAIS 'kiblat' sekolah agama Kemboja
Sukatan pelajaran JAIS 'kiblat' sekolah agama Kemboja
Sukatan pelajaran JAIS 'kiblat' sekolah agama Kemboja

Suatu ketika dahulu, bumi Kemboja pernah melalui zaman paling gelap dalam sejarahnya.

Pemerintahan kuku besi Pol Pot mengakibatkan jutaan nyawa melayang dalam tempoh empat tahun. Ia dianggap antara jenayah paling dahsyat dalam sejarah moden, hampir menyamai Holocoust.

Struktur sosial runtuh. Semua agama diharamkan termasuk Islam. Ulama dibunuh. Masjid diroboh. Puasa dilarang. Solat ditegah. Bahkan umat Islam juga dipaksa makan babi.

Pembantaian terhadap etnik Champa antara paling buruk. Keteguhan nilai agama mereka dianggap ancaman kepada rejim Khmer Rouge itu. Sekitar 150,000 umat Islam dibunuh beramai-ramai demi menghapus etnik itu secara sistematik.

Kehancuran masih tersisa depan mata meski suasana politik kembali stabil selepas kejatuhan rejim berkenaan. Tanpa ada pilihan, mereka membina semula kehidupan dari petak satu.

“Pada zaman Pol Pot, tiada agama, tiada pendidikan, tiada pelajar, tiada guru, semuanya musnah,” kata Mufti Kemboja, Okhna Dato’ Kamaruddin Yusof, mengimbau detik itu kepada Media Selangor di Phnom Penh pada 3 Februari.

Mufti Kemboja, Okhna Dato’ Kamaruddin Yusof. Foto RAZIF MAT ARBAK/MEDIA SELANGOR

Tanpa sukatan pelajaran waima kemudahan asas, pengajian agama diteruskan secara tradisional di rumah dan pondok kecil. Mereka tidak mahu generasi baharu terputus dari pegangan al-Quran dan kepentingan fardu ain.

Namun, setiap sekolah menggunakan kaedah dan bahan berbeza. Ada daripada Universiti al-Azhar, sebahagian lagi sumber lain. Para guru pula terpaksa menterjemah bahan itu yang kebanyakannya dalam bahasa Arab.

“Sebelum 2012, kami tidak ada sukatan pelajaran yang seragam. Setiap guru menyediakan kurikulum sendiri berdasarkan pengalaman masing-masing,” kata Timbalan Mufti Kemboja, Ahmad Yahya Arafat.

Situasi tersebut menyebabkan tahap kefahaman pelajar berbeza-beza. Tanpa keseragaman, penilaian pelajar juga sukar dibuat secara menyeluruh.

Timbalan Mufti Kemboja, Ahmad Yahya Arafat. Foto RAZIF MAT ARBAK/MEDIA SELANGOR

Tiga dekad berlalu. Memori gelita telah berakhir, cerah belum tentu terserlah. Namun, berkat usaha merentasi sempadan, landskap pendidikan di negara minoriti Islam itu berubah secara berperingkat.

Selangor memainkan peranan besar dalam membangunkan sistem baharu dari takah paling rendah negara tersebut.

Kerjasama rasmi dimeterai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan pihak berkuasa agama Kemboja pada tahun 2012.

Sistem pendidikan JAIS dibawa ke Kemboja dan disesuaikan dengan konteks negara minoriti muslim itu. Dari sudut latihan guru, kurikulum pelajaran, sistem peperiksaan dan terjemahan buku teks, semuanya dilakukan secara berperingkat tetapi menyeluruh.

Pelajar sekolah agama di Kemboja. Foto RAZIF MAT ARBAK/MEDIA SELANGOR

Selepas 13 tahun, usaha itu membuahkan hasil dan mendapat pengiktirafan kerajaan Kemboja. Tidak seperti sebelumnya, Kerajaan Kemboja membayar gaji kepada kira-kira 1,500 guru agama mulai 2015.

Pendidikan Islam kini selari dasar pendidikan nasional, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja Nos Sles.

Model pemindahan sistem pendidikan Islam ke Kemboja turut menarik perhatian pihak luar termasuk wilayah selatan Thailand dan komuniti Islam di Vietnam dan Laos yang berdepan cabaran hampir sama selaku minoriti muslim.

Usaha membantu komuniti kecil pasca konflik mula berkembang menjadi model rujukan masyarakat antarabangsa khususnya rantau IndoChina.

Bagi Selangor, ia bukan sekadar misi bantuan sebaliknya usaha terancang lagi menyeluruh dan berterusan demi membangunkan sistem ampuh untuk generasi baharu Islam melangkaui sempadan negara.

Pelajar sekolah agama di Kemboja. Foto RAZIF MAT ARBAK/MEDIA SELANGOR

Fakta masyarakat Islam Champa

  • diami Kemboja sejak ratusan tahun

  • hanya separuh penduduk terselamat

  • ratusan masjid, madrasah musnah

  • jadi sasaran utama rejim

Kezaliman rejim Khmer Rouge

  • tempoh pemerintahan 1975-79

  • lebih 1.7 juta atau 20 peratus penduduk dibunuh

  • pendekatan genosid (pembasmian kaum) terhadap umat Islam

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.