SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Negeri menegaskan tiada tapak ganti disediakan berhubung pencerobohan tiga rumah ibadat bukan Islam di tanah perkuburan Islam PJS 4, Petaling Jaya.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, dakwaan yang tular di media sosial kononnya wujud ‘tapak ganti’ bagi menggantikan pencerobohan berkenaan adalah tidak tepat.
Beliau menjelaskan, tapak yang dirujuk dalam kenyataan seorang pengguna Facebook, Tamim Dahri pada 23 Januari lalu, sebenarnya telah lama dizonkan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.
“Semakan dengan Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan bahawa tapak yang disebut itu telah dizonkan sebagai tapak untuk RIBI dan tidak pernah dicadangkan sebagai surau.
“Perlu diperjelaskan juga bahawa ‘tapak ganti’ ini bukanlah tapak ganti kepada kuil ini sebagai gantian kepada pencerobohan mereka dan juga bukan pernah menjadi tapak surau yang diubah kepada tapak RIBI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sekiranya mana-mana pihak kuil berhasrat untuk menduduki tapak RIBI tersebut secara sah, permohonan masih perlu dibuat kepada MBPJ dan Pejabat Tanah Petaling, tertakluk kepada kelulusan agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi meminta semua pihak terlibat, sama ada Islam atau bukan Islam, agar bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman.
“Tohmahan melulu yang dibuat oleh beliau (Tamim) dalam posting Facebooknya bertarikh 23 Januari 2026, bahawa kononnya ‘tapak ganti’ untuk Kuil Sri Maha Mariamman yang disediakan oleh pemaju Asian Pac Holdings Bhd, pernah dicadangkan sebagai kawasan surau.
“Persepsi yang mungkin mahu dizahirkan di sini adalah bahawa ada tapak surau yang telah diambil oleh pemaju untuk dijadikan tapak kuil India. Daripada komen-komen di posting itu, ternyata ramai netizen telah menzahirkan rungutan dan kebimbangan akibat persepsi yang tidak benar ini.
“Penjelasan ini wajar dihadam sepenuhnya saudara Tamim dan netizen supaya persepsi yang tidak betul dan boleh menyinggung sensitiviti kaum tidak dipermainkan sewenang-wenangnya,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan, tindakan serta garis masa yang khusus bagi merobohkan binaan tidak sah di tanah perkuburan Islam berkenaan, bagi membolehkan kerja-kerja tapak kubur dirancang oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang sekian lama tertangguh dilaksanakan seawal Jun 2026.
“Biarlah agensi-agensi yang terlibat menjalankan tugasan mereka dengan cermat dan teratur berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kerajaan Negeri komited untuk menjaga tanah-tanah di bawah pengurusan dan tanggungjawab institusi Agama Islam Negeri Selangor daripada segala bentuk pencerobohan dan salah guna,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah JAIS, Dato' Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan pihak yang menceroboh tanah perkuburan Islam PJS 4, Petaling Jaya diberi tempoh sehingga 31 Mac depan untuk mengosongkan tapak tersebut.
Beliau menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya arahan berkenaan gagal dipatuhi.
Tanah perkuburan itu diwartakan bawah JAIS mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 dan bukan tanah wakaf bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial.
Pada November tahun lalu, Mohammad Fahmi memaklumkan pencerobohan tersebut melibatkan pembinaan struktur tiga rumah ibadat bukan Islam.


