MAIS sumbang RM10.87 juta bantu operasi 25 Rumah Pemulihan Riqab

14 Mac 2026, 2:22 PM
MAIS sumbang RM10.87 juta bantu operasi 25 Rumah Pemulihan Riqab

KUALA LANGAT, 14 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan sebanyak RM10.87 juta kepada 25 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Pemulihan Asnaf Riqab bagi membantu operasi dan kebajikan golongan berkenaan di negeri ini.

Setiausahanya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sumbangan itu bertujuan memperkukuh keupayaan RPR dalam menyediakan rawatan, perlindungan serta bimbingan kepada asnaf riqab yang menghadapi pelbagai masalah sosial dan akidah.

“Sumbangan ini melibatkan kos pelaksanaan program dan penjagaan asnaf riqab supaya mereka dapat kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Pelbagai usaha dan tindakan dilaksana Bahagian Pemulihan Riqab MAIS dan Rumah Pemulihan Majlis dalam menyediakan perkhidmatan pemulihan, perlindungan dan rawatan kepada asnaf riqab.

“Usaha ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan asnaf riqab dipulihkan dari belenggu masalah sosial dan akidah,” katanya hari ini.

Sekitar Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Rumah Pemulihan Riqab 2026 di Bandar Bestari Klang pada 14 Mac 202. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Rumah Pemulihan Riqab 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan penyerahan Geran Hari Raya Aidilfitri kepada penghuni rumah pemulihan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Prof Dr Salasiah Hanin Hamjah.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin menjelaskan MAIS terus komited melaksanakan amanah dalam memulihkan dan membangunkan golongan asnaf riqab di Selangor melalui pendekatan yang lebih tersusun serta berimpak tinggi.

“Antara strategi utama pembukaan Hub Intervensi - Kesihatan Mental kepada bekas pelatih atau komuniti, membangunkan modul pemulihan kesalahan jenayah syariah akhlak.

“Setakat ini, kita menyasarkan kitaran pemulihan yang lebih selaras dengan maqasid syariah, penyeragaman modul pemulihan riqab serta peningkatan kompetensi guru pembimbing, di samping memastikan agihan zakat lebih produktif dan berkesan,” katanya.

Pengurus Rumah Sahabat Hulu Langat, Asyraf Amri Mohamad. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pengurus Rumah Sahabat Hulu Langat, Asyraf Amri Mohamad berkata geran yang disalurkan amat membantu kelancaran operasi pemulihan.

“Geran ini sangat membantu kerana kebanyakan mereka yang menghantar anak-anak tidak berkemampuan.

“Saya akan gunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan program dilaksana termasuk program rawatan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.