SHAH ALAM, 16 OKT: Tujuh daerah di Selangor iaitu Petaling, Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang, Sabak Bernam dan Hulu Langat diramal ribut petir, hujan lebat serta angin kencang hingga 8 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama turut diramal melanda Putrajaya, seluruh Perlis dan Melaka selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.





