MBPJ komited jayakan pelan ekonomi penjagaan, sasar bandar inklusif

26 Jan 2026, 1:23 AM
MBPJ komited jayakan pelan ekonomi penjagaan, sasar bandar inklusif
MBPJ komited jayakan pelan ekonomi penjagaan, sasar bandar inklusif
MBPJ komited jayakan pelan ekonomi penjagaan, sasar bandar inklusif

PETALING JAYA, 26 JAN: Pelan tindakan ekonomi penjagaan yang dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjalan mengikut jadual sekali gus memperkukuh hasrat menjadi bandar penjagaan inklusif.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya komited memastikan pelan tersebut memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, jantina atau keupayaan.

“Untuk pengetahuan, tempoh perkhidmatan sebagai datuk bandar dilanjutkan lagi setahun sehingga Januari depan. Antara fokus utama adalah memastikan pelan ekonomi penjagaan warga emas digerakkan seperti dirancang dan mencapai sasaran.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato' Mohamad Zahri Samingon berucap dalam Majlis Pelantikan Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya 2026/2027 di Hotel M Resort & Hotel Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 25 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Bukan itu sahaja, operasi penguatkuasaan juga dipertingkatkan selain menyantuni segala aduan supaya ia dapat diselesaikan,” katanya pada majlis pelantikan ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya 2026/2027 di sini semalam.

Sebelum ini, MBPJ dipilih menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang melaksanakan pelan tindakan ekonomi penjagaan.

Pelan tindakan yang menyokong Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024–2030 relevan dilaksanakan kerana Petaling Jaya memiliki populasi mencecah lebih 2.3 juta, sekali gus menjadi antara kawasan padat dan membangun.

Bagi melengkapkan pelan itu, MBPJ turut memperkenalkan inisiatif komuniti berasaskan kasih sayang dan kesejahteraan ‘PJ Food with Love’.

Untuk rekod, Selangor melancarkan DEPNS sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

Dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Ia akan menumpu kepada aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato' Mohamad Zahri Samingon (tengah) beramah mesra bersama ahli majlis yang baharu dilantik ketika Majlis Pelantikan Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya 2026/2027 di Hotel M Resort & Hotel Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 25 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR