SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempergiat program turun padang bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta mendekati komuniti bandar secara lebih berkesan.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan program ia diteruskan hari ini menerusi Program Turun Padang Datuk Bandar Petaling Jaya @Desa Mentari yang berlangsung di Blok 4, 5 dan 6, Desa Mentari.
Menurutnya ia sebagai manifestasi pendekatan kepimpinan berteraskan libat urus rakyat, khususnya dalam menyantuni komuniti setempat serta memahami secara langsung isu, keperluan dan cabaran sebenar yang dihadapi penduduk.
“Pelaksanaan program berkonsepkan Santuni MADANI ini mencerminkan usaha berstruktur dan berfokus MBPJ bersama agensi kerajaan dalam mendekati kumpulan sasar, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan komuniti yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi,” katanya.
Antara pengisian program hari ini termasuk pertandingan kebersihan dan keceriaan blok, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan percuma, program kitar semula minyak masak terpakai, pemberian anak pokok secara percuma serta Jualan Rahmah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selanbor (PKPS).
Menurutnya, MBPJ kekal beritizam untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperkasa komuniti bandar ke arah pembangunan yang seimbang, inklusif dan berimpak jangka panjang.
Program turun padang seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan pemantauan berkala bagi memastikan manfaat yang mampan dan berterusan dapat dirasai oleh komuniti setempat.





