SHAH ALAM, 25 JAN: Ibu bapa dan penjaga kepada ahli Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS) kelahiran 2008 dan 2009 diminta segera mengemaskini maklumat peribadi bagi memastikan proses pembayaran tabungan anak berjalan lancar.
Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menerusi Facebook memaklumkan, pembayaran tabungan berkenaan dijadualkan bermula tahun ini sehingga 2027.
"Ibu bapa atau penjaga diminta untuk mengemaskini butiran nombor telefon, alamat tempat tinggal dan email terkini.
"Ini bagi memastikan pembayaran tabungan dapat disalurkan dengan lancar apabila anak mencapai umur 18 tahun," menurut yayasan itu.

YAWAS menambah, proses pengemaskinian maklumat adalah penting bagi mengelakkan sebarang kelewatan atau masalah semasa pembayaran, terutamanya yang melibatkan saluran komunikasi dan pengesahan penerima.
Pengemaskinian maklumat boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web rasmi Tawas atau dengan menghubungi 03-5481 8800 bagi sebarang pertanyaan.
Proses ini telah dibuka mulai 21 Januari dan digalakkan dilakukan seawal mungkin.
Bagi mereka yang menghadapi sebarang masalah teknikal atau memerlukan maklumat lanjut, YAWAS menasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi yayasan atau laman TAWAS untuk bantuan.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menegaskan pelaksanaan TAWAS membuktikan tekad Kerajaan Negeri dalam memperkasa generasi muda dan memastikan setiap anak Selangor mendapat permulaan kehidupan yang stabil.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, TAWAS yang diperkenalkan sejak 2008 mula menunjukkan hasilnya apabila anak-anak yang pernah menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah ketika memasuki Tahun Satu akan menerima wang tabungan tersebut apabila mencapai umur 18 tahun.


