SHAH ALAM, 24 JAN: Kerajaan Negeri tidak akan campur tangan dalam tindakan saman difailkan atlet Olimpik, Noraseela Khalid di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung larangan menyeluruh pemeliharaan anjing di pangsapuri.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato' Ng Suee Lim berkata sebaliknya Kerajaan Negeri membenarkan perkara itu dicabar melalui saluran perundangan.
“Jika mereka membawa isu ini ke mahkamah, kita serahkan kepada mahkamah untuk menguruskannya.
"Kita menghormati segala keputusan mahkamah,” katanya seperti dilapor The Star.
Sebelum ini, Noraseela memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mencabar larangan menyeluruh pemeliharaan anjing di pangsapuri.
Dalam samannya, Noraseela berhujah Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MBPJ) 2007 bercanggah dengan undang-undang persekutuan termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengurusan Strata.
Seksyen 8(2) undang-undang kecil itu melarang penduduk memelihara anjing di unit pangsapuri dalam kawasan MBPJ.
Noraseela turut mendakwa MBPJ tiada kuasa untuk melaksanakan larangan menyeluruh itu.
Dakwanya lagi, larangan berkenaan melanggar hak pemilik haiwan peliharaan untuk menggunakan dan menikmati harta mereka sepenuhnya kerana tiada bukti menunjukkan anjing atau haiwan peliharaan lain mengganggu jiran.
Noraseela yang mewakili negara dalam acara 400 meter lari berpagar wanita di temasya Olimpik London 2012 memohon pengisytiharan mahkamah bahawa undang-undang kecil itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.


