SHAH ALAM, 24 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan operasi memecah tanjakan di sekitar Jalan Seksyen 35, Alam Impian, di sini bagi menangani penyalahgunaan tempat letak kereta awam tanpa kebenaran.
MBSA memaklumkan operasi itu bertujuan mengesan, mengawal serta mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis perniagaan yang membina tanjakan secara tidak sah bagi memudahkan aktiviti perniagaan mereka.
"Ia sekaligus menjejaskan fungsi sebenar petak letak kereta awam selain mengganggu keselesaan pengguna lain," menurut kenyataan MBSA.
Selain itu, menurut MBSA, penyalahgunaan ini bukan sahaja menimbulkan isu kesesakan dan keselamatan, malah turut memberi implikasi negatif terhadap pengurusan bandar yang sistematik dan berdaya huni.
Hasil operasi pada 22 Januari lalu itu, sebanyak tiga premis perniagaan dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana membina tanjakan tanpa kebenaran.
"Dalam operasi sama, dua tanjakan dipecahkan dan ditanggalkan, manakala dua kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis terlibat.
"Bagi memastikan pelaksanaan tindakan berjalan lancar dan berkesan, MBSA menggunakan jentera berat jenis 'excavator' untuk menanggalkan struktur tanjakan yang dibina secara tidak sah," menurut kenyataan itu.
MBSA turut memaklumkan bahawa penggunaan tempat letak kereta awam tanpa kebenaran bagi tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
"MBSA sentiasa komited memastikan pematuhan undang-undang oleh semua pihak demi menjaga kepentingan awam serta kelestarian persekitaran bandar," tegas pihak berkuasa tempatan itu.
Dalam masa sama, MBSA mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan kemudahan sewaan petak letak kereta khas bagi tujuan perniagaan kepada premis yang memenuhi syarat ditetapkan.
Setakat ini, 21 kategori perniagaan dikenalpasti layak memohon sewaan tersebut termasuk kedai membaiki kereta dan motosikal, kedai aksesori kenderaan, kedai perabot dan klinik.
Selain itu, premis yang layak mekohon adalah ruang pameran kenderaan, pasar raya serta kedai runcit yang memerlukan ruang khas bagi aktiviti pemunggahan barangan.
MBSA menyeru para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan mendapatkan kelulusan sewajarnya sebelum menggunakan kemudahan awam bagi tujuan perniagaan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan permohonan sewaan petak letak kereta khas boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1477, 1657 atau 1658.




