AMPANG, 23 JAN: Kerajaan Negeri menjadikan pelaburan dalam infrastruktur digital sebagai fokus utama untuk meningkatkan produktivitinya serta mempertingkat kecekapan pentadbiran dan perkhidmatan di Selangor.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim, menegaskan bahawa penyediaan infrastruktur digital yang kukuh adalah asas penting bagi memacu agenda pendigitalan dan pembangunan bandar pintar, demi manfaat rakyat.
“Penyelarasan penggunaan infrastruktur digital boleh dilaksanakan melalui anak syarikat Kerajaan Negeri, sekali gus membolehkan perkongsian kemudahan dan sistem secara lebih berkesan.
“Pendekatan ini juga bukan sahaja dapat mengelakkan pertindihan kos malah membantu meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti di peringkat negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Izham menambah, pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital akan memberi impak jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing Selangor sebagai negeri maju dan berdaya tahan.
Pada 20 Januari lalu, Kerajaan Selangor menerima peruntukan RM450 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melaksanakan Inisiatif Bandar Pintar Selangor, sekali gus memperkukuh agenda bandar pintar negeri demi kesejahteraan rakyat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu memfokuskan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam supaya lebih pantas, telus dan berkesan selari dengan keperluan rakyat.


