SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Selangor menerima peruntukan RM450 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melaksanakan Inisiatif Bandar Pintar Selangor, sekali gus memperkukuh agenda bandar pintar negeri demi kesejahteraan rakyat.
Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor, di sini hari ini.

"MoU ini memberi tumpuan kepada pembangunan kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik, serta pelaksanaan pengurusan banjir pintar di bawah penyelarasan Selangor Integrated & Intelligent Operations Centre (SIIOC)," katanya.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan mencemar duli berangkat.
Keberangkatan Baginda turut diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan kepimpinan negeri dan persekutuan.
Fahmi menjelaskan MoU berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama di bawah penyelarasan SIIOC, iaitu:
Pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar
Peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik
Pelaksanaan pengurusan banjir pintar
Beliau menekankan, pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar menjadi asas bandar pintar, termasuk peluasan rangkaian gentian optik, kemudahan Wi-Fi awam, serta sokongan kepada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan capaian Internet lebih luas, stabil, dan berkualiti.
"Pelaksanaan bandar pintar ini juga memperkukuh keupayaan perancangan dan pengurusan bandar oleh kerajaan negeri melalui penggunaan data bersepadu dan teknologi pintar, sekali gus menyokong pembuatan dasar yang lebih tepat, mampan dan berimpak tinggi.
"Inisiatif ini turut berperanan sebagai pemangkin ekonomi digital negeri, menggalakkan inovasi dan meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan strategik,” katanya.
Setakat 31 Disember lalu, Selangor dengan populasi sekitar 7.4 juta penduduk telah mencapai 96.9 peratus liputan 5G, menjadikan negeri ini peneraju liputan rangkaian berkenaan di Malaysia.




