Kabinet tarik balik RUU Pembaharuan Semula Bandar untuk penambahbaikan

23 Jan 2026, 9:44 AM
Kabinet tarik balik RUU Pembaharuan Semula Bandar untuk penambahbaikan

SHAH ALAM, 23 JAN: Jemaah Menteri hari ini bersetuju menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 bagi tujuan penambahbaikan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, khususnya Ahli Parlimen daripada UMNO.

“Jemaah menteri telah bersetuju bahawa RUU URA ini ditarik balik, untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan diteliti, dibentangkan, dibincang serta diputuskan oleh Kabinet pada satu tempoh yang akan dimaklumkan.

“Ia seterusnya dibentangkan semula dalam bentuk baharu di Dewan Rakyat. Jadi, Jemaah Menteri memutuskan RUU ini ditarik balik, untuk ditambah baik dan akan dibentang kemudian,” katanya pada sidang media mingguan, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kabinet akan meneliti draf baharu RUU berkenaan melalui sesi taklimat sebelum ia dibawa ke Jabatan Peguam Negara.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan sejumlah cadangan telah diterima daripada pihak UMNO dan hampir kesemuanya akan dimasukkan ke dalam draf yang baharu.

“Draf yang baharu mesti dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincang dan kita jangka makan masa,” tambahnya.

Sebelum ini, RUU Pembaharuan Semula Bandar dibentangkan untuk bacaan kali pertama dengan tujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

Bagaimanapun, pembentangan bacaan kedua RUU tersebut ditangguhkan selepas beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyuarakan keperluan supaya ia diteliti semula dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak.