KUALA SELANGOR, 8 NOV: Sebahagian besar isu bandar menua di Selangor mampu diselesaikan menerusi pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 70 peratus bandar di Selangor kini sudah berusia lebih 30 tahun membabitkan beberapa kawasan seperti Petaling Jaya, Klang, Ampang, Kajang serta Subang Jaya.
“Sebahagiannya agak bergantung kepada URA. Sebab itu URA ada baiknya kerana ia boleh menyelesaikan isu ini. Tetapi jika dibantah berterusan, ia tidak akan membawa manfaat kepada kawasan lama.
“Selangor Mansion, PJ Old Town, perumahan lama di Kajang, Gombak, Ampang, itu semuanya perlu URA. Tapi kalau terus disokong dengan bantahan melulu, ia tidak akan membawa kebaikan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Amirudin merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat negeri dengan tema Pembaharuan Semula Bandar: Agenda Perancangan Untuk Rakyat di Dataran Malawati di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin menyifatkan isu bandar menua merupakan cabaran utama kepada pentadbiran negeri dan akan dijadikan sebagai fokus utama dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
“Itu memang cabaran kita dan ia akan menjadi fokus kepada kita dalam RS-2 bagaimana untuk kita tambah baik bandar menua supaya ia kekal berdaya saing,” katanya.
Ogos lalu, RUU URA dilaporkan tidak diluluskan pada sidang Dewan Rakyat sebaliknya ditangguhkan dan dibawa ke persidangan berikutnya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diarah melakukan pindaan terhadap RUU berkenaan termasuk berhubung nilai ambang persetujuan untuk menyertai projek pembaharuan semula bandar.







