SHAH ALAM, 23 JAN: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) yang baharu, Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim berazam memperkukuh pencapaian pelajar dan guru secara holistik.
Beliau turut komited memastikan kebajikan serta keperluan warga sekolah dan pendidik terus diberi perhatian bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan sistem pendidikan di negeri ini.
“Bagi pihak saya, saya akan meneruskan apa yang baik, yang telah dilaksanakan sebelum ini. Untuk pendidikan, saya harap semua murid di Selangor mendapat akses pendidikan terbaik.
“Kita juga ingin bangunkan guru-guru dan pentadbir supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan cekap, dan murid juga mencapai kejayaan secara holistik,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Media Selangor yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, di Pejabat JPNS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Nor Ashikin berharap agar semua guru di Selangor dapat meningkatkan kefahaman serta kemahiran dalam pelbagai bidang, khususnya penguasaan teknologi digital.
Menurutnya, penguasaan tersebut penting bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, menarik serta selari dengan keperluan semasa murid.
“Kita akan melihat apakah keperluan yang boleh kita berikan dengan peruntukan yang ada, untuk kita pastikan PdP dapat dilaksanakan dengan baik dan murid pun seronok untuk belajar, dan kita pun seronok mahu bekerja,” katanya.
Pelantikan Wan Nor Ashikin sebagai Pengarah JPNS berkuat kuasa mulai 7 Januari lalu, menggantikan Dr Jafri Abu yang bersara pada akhir tahun lalu.



