SHAH ALAM, 2 NOV: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) mengenal pasti sekolah berisiko banjir sebagai langkah persediaan memastikan urusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persediaan awal perlu dilaksanakan sebaik mungkin susulan peralihan MTL yang bermula pada 27 Oktober lalu.
“Kita akan dapatkan maklumat berhubung perkara ini. Saya dah minta JPNS kenal pasti lokasi lazim (banjir) supaya kita boleh bersiap sedia ketika musim perlahan MTL ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisel dan Mega Nutrisel 2026 di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri meluluskan kira-kira RM800,000 bagi melaksanakan projek segera mengatasi masalah banjir, khususnya sekitar persimpangan I-City, Seksyen 7 dan Taman Rashna, Klang.
Jelasnya, semua projek berkenaan dijangka siap menjelang awal Disember ini sekali gus mengurangkan risiko situasi air naik berlaku.
“Selain itu kita juga sediakan pam sebagai langkah alternatif mengelakkan berlakunya banjir di kawasan terbabit. Sekarang dah masuk peralihan MTL, jadi seperti biasa kita akan kenal pasti titik panas banjir untuk persediaan,” katanya.
MTL yang bermula pada 27 Oktober, dijangka berterusan hingga Mac 2027 dengan diramalkan membawa antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, khususnya dari November hingga Januari, sekali gus meningkatkan risiko banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.










