Dakwaan pelajar saji minuman beralkohol di majlis makan malam disiasat – JPNS

24 Okt 2026, 6:11 AM
Dakwaan pelajar saji minuman beralkohol di majlis makan malam disiasat – JPNS

SEREMBAN, 24 OKT: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sedang memuktamadkan siasatan berhubung dakwaan penglibatan pelajar sebuah sekolah di sini dalam penyajian minuman beralkohol pada majlis makan malam persatuan bekas pelajar sekolah itu pada 5 September.

Dalam kenyataan hari ini, JPNS menegaskan pelajar sekolah tidak sepatutnya dilibatkan dalam aktiviti mengendalikan atau menghidangkan minuman beralkohol.

JPNS memaklumkan berdasarkan maklumat awal, majlis itu dianjurkan oleh persatuan bekas pelajar di luar kawasan sekolah, selain pihak sekolah dan persatuan tersebut menafikan dakwaan penglibatan pelajar dalam penyajian minuman beralkohol.

JPNS berkata siasatan terhadap aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) turut merangkumi penelitian terhadap pematuhan prosedur oleh pihak sekolah.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau kecuaian dalam pelaksanaan tanggungjawab, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

JPNS menegaskan kebajikan, keselamatan serta maruah pelajar sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya akan memastikan hasil siasatan diteliti secara menyeluruh sebelum tindakan susulan diambil.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.