Bantuan sewa rumah diteruskan, 67 keluarga Putra Heights terima RM6,000

23 Jan 2026, 8:30 AM
Bantuan sewa rumah diteruskan, 67 keluarga Putra Heights terima RM6,000
Bantuan sewa rumah diteruskan, 67 keluarga Putra Heights terima RM6,000
Bantuan sewa rumah diteruskan, 67 keluarga Putra Heights terima RM6,000

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Selangor meneruskan Bantuan Sewa Rumah Sementara bagi mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya untuk fasa keempat, melibatkan 67 ketua isi rumah (KIR).

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata bantuan berjumlah RM6,000 bagi setiap keluarga itu disalurkan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) meliputi tempoh tiga bulan bermula Januari hingga Mac ini.

“Sebelum ini sumbangan melibatkan lebih 100 keluarga tapi kali ini hanya 67 keluarga. Kediaman mereka masih belum siap, jadi kita teruskan bantuan supaya dapat bantu mereka.

“Mereka ini bawah beberapa kategori. Ada rumah tak siap, ada yang tak berpindah dah juga ada dalam proses mahkamah. Setakat ini kita akan bantu hingga Mac dan akan lihat keperluan akan datang,” katanya kepada Media Selangor.

Berikutan kejadian kebakaran pada 1 April tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah RM2.19 juta diperuntuk bagi fasa pertama bayaran sewa rumah kepada 365 KIR, dengan setiap bulan menerima bantuan RM2,000.

EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, dana itu disalurkan kepada 456 keluarga dengan masing-masing menerima RM6,000 bagi tempoh tiga bulan dan sumbangan secara berfasa.

Kerajaan Negeri turut meluluskan bantuan sewa fasa kedua bagi tempoh Julai hingga September, melibatkan 144 ketua isi rumah dengan jumlah pembayaran keseluruhan RM864,000.

Bagi fasa ketiga, ia melibatkan 123 KIR dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM738,000.

Insiden kebakaran pagi 2 Syawal itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi separa musnah dan 57 unit terkesan tetapi tidak terbakar.