SHAH ALAM, 27 APRIL: Cadangan lanjutan bantuan sewa rumah sementara fasa kelima kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata cadangan tersebut dikemukakan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 21 April lalu bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.
Menurutnya, langkah itu bertujuan meneruskan bantuan kepada mangsa yang masih terkesan akibat insiden berkenaan.
“Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 21 April 2026 telah mengemukakan cadangan berhubung lanjutan bantuan bagi sewa fasa kelima untuk pertimbangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan bantuan sewa fasa empat kepada mangsa Putra Heights bagi tempoh Januari, Februari dan Mac 2026 selesai disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) pada 27 Januari lalu.
“Seramai 67 Ketua Isi Rumah (KIR) layak menerima bantuan tersebut dengan jumlah implikasi kewangan RM402,000, sehubungan itu tiada tunggakan bayaran dan tiada penerima layak tercicir dalam pelaksanaan fasa empat,” katanya.
Sementara itu, katanya Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mempergiat penyediaan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya golongan muda dan keluarga baharu.
“Di kawasan Hulu Langat sahaja, 101 projek melibatkan 55,671 unit perumahan dirancang dan dilaksanakan, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dengan 68 unit rumah mampu milik siap dibina.
“Selain itu, Kerajaan Negeri menyediakan pendekatan alternatif seperti Skim Smart Sewa bagi membantu golongan yang belum berkemampuan untuk membeli rumah, iaitu dengan menyewa pada kadar berpatutan sambil memberi ruang mengumpul simpanan bagi tujuan pemilikan pada masa hadapan,” katanya.











