SHAH ALAM, 22 JAN: Tahap kesiapsiagaan venue bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Petaling Jaya kini mencapai kira-kira 70 peratus, hasil kerja naik taraf infrastruktur dan fasiliti sukan yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Jabatan Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan, kerja pembaikan dan penyelenggaraan giat dijalankan di beberapa lokasi utama yang terlibat secara langsung dalam penganjuran temasya sukan berprestij itu.
“Setakat ini kira-kira 70 peratus kerja pembaikan telah disiapkan dan semua persiapan dijangka selesai sepenuhnya mengikut jadual sebelum SUKMA 2026 berlangsung.
“Kerja naik taraf ini dilaksanakan bagi memastikan setiap venue berada dalam keadaan selamat, berfungsi dengan baik serta mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan penganjur,” menurut kenyataan itu.
Antara venue utama yang terlibat termasuk Stadium Hoki MBPJ, Arena MBPJ, Kompleks Sukan Astaka, Gelanggang Tenis Dewan D’Kelana dan Stadium MBPJ.
Menurut MBPJ, semua kerja pembaikan dilaksanakan secara berperingkat dengan pemantauan rapi oleh jabatan teknikal bagi memastikan jadual pelaksanaan dipatuhi serta gangguan kepada pengguna awam dapat diminimumkan.
“Usaha penambahbaikan fasiliti sukan ini dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan optimum menjelang penganjuran SUKMA 2026, selain mengekalkan tahap keselesaan dan kualiti kemudahan awam untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya.
MBPJ menegaskan komitmen untuk menyediakan fasiliti sukan berkualiti tinggi bagi menyokong kejayaan penganjuran SUKMA 2026, di samping memastikan kemudahan awam sentiasa berada pada tahap terbaik untuk kegunaan masyarakat.




