60 kuil terima sumbangan lebih RM500,000 sempena Thaipusam - EXCO

22 Jan 2026, 7:10 AM
60 kuil terima sumbangan lebih RM500,000 sempena Thaipusam - EXCO

SHAH ALAM, JAN 22: Sebanyak 60 kuil di seluruh Selangor bakal menerima sumbangan RM500,000 daripada Kerajaan Negeri sempena sambutan Thaipusam 2026.

Menurut EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu, sumbangan itu selaras dengan tekad pentadbiran negeri memelihara kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat.

"Thaipusam merupakan antara perayaan penting masyarakat India dan usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap keharmonian serta perpaduan rakyat.

"Setakat ini 67 kuil telah memohon peruntukan dan selepas semakan, sekurang-kurangnya 60 kuil layak menerima bantuan. Peruntukan fasa kedua pula akan dilaksanakan sebelum Deepavali tahun ini," katanya kepada Media Selangor.

Sambutan Thaipusam peringkat negeri dijadual pada 31 Januari bersempena Eve of Thaipusam, di bawah jambatan berhampiran Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, lokasi tradisi sambutan sebelum ini.

Selain serahan bantuan, pelbagai acara menarik turut diatur termasuk persembahan seni dan sumbangan makanan. Majlis akan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bagi memastikan keselamatan penganut Hindu dan orang awam, Papparaidu berkata pelbagai langkah telah diambil termasuk penugasan anggota polis dan penyediaan perkhidmatan ambulans.

“Saya menyeru agar semua penganut Hindu menyambut Thaipusam dengan tertib, sopan, dan penuh kesederhanaan, sambil mengekalkan semangat harmoni dan perpaduan,” katanya.