SHAH ALAM, 24 OKT: Peruntukan RM50 juta bagi penyelenggaraan dan pembaikan sekolah Tamil menerusi Belanjawan 2027 diharap dapat membantu menangani masalah infrastruktur, khususnya di kawasan bekas ladang dan penempatan masyarakat berpendapatan rendah.
Penganalisis politik, Dr Sharmin Kutty Sivaraman berkata dana berkenaan berpotensi dimanfaatkan untuk membaik pulih bangunan uzur, menaik taraf bilik darjah serta menambah baik kemudahan asas bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan selesa.
“Bagi sesetengah sekolah Tamil, khususnya yang terletak di kawasan bekas ladang dan kawasan yang didiami masyarakat berpendapatan rendah, isu infrastruktur sudah lama menjadi cabaran.
“Jadi, saya berharap keperluan sekolah-sekolah ini dapat diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, penambahbaikan kemudahan sekolah bukan sahaja membolehkan murid belajar dalam suasana lebih kondusif, malah membantu guru menjalankan tugas pengajaran dengan lebih berkesan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion.
Daripada jumlah itu, RM900 juta diperuntukkan kepada sekolah kebangsaan, RM100 juta bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM50 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Sementara itu, EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu menyifatkan pelaburan dalam pendidikan sebagai langkah penting bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya generasi muda.
“Bagi saya, pelaburan dalam pendidikan memang penting kerana kita mahu setiap murid mendapat kemudahan pembelajaran yang baik.

“Dengan adanya persekitaran pembelajaran yang selesa, mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup pada masa hadapan,” katanya.
Di Selangor, Kerajaan Negeri turut memperkukuh akses pendidikan masyarakat India menerusi Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah yang memanfaatkan 3,452 murid daripada 99 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tahun ini.
Menerusi program berkenaan, bantuan berbentuk baucar RM300 disediakan kepada penerima yang layak bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, termasuk penduduk kawasan estet, menampung kos pengangkutan anak ke sekolah.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.7 juta bagi Program Pembangunan Pendidikan Masyarakat India pada 2026, merangkumi RM1.2 juta untuk subsidi tambang bas sekolah dan RM1.5 juta bagi bantuan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam serta swasta kepada pelajar India daripada keluarga B40.
Dalam perkembangan sama, Papparaidu turut menyambut baik peruntukan RM80 juta bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam berdaftar menerusi Belanjawan 2027, termasuk tokong Cina, tempat ibadat Buddha, gereja dan kuil Hindu.
“Malaysia mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Jadi, keperluan setiap komuniti perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Peruntukan seperti ini bukan sahaja membantu menambah baik kemudahan rumah ibadat, tetapi juga menggalakkan keharmonian dan persefahaman antara kaum,” katanya.







