TAWAS 2008: Tuntutan manfaat dibuka mulai 22 Januari, semak fasa kelahiran anda

21 Jan 2026, 12:45 PM
TAWAS 2008: Tuntutan manfaat dibuka mulai 22 Januari, semak fasa kelahiran anda

SHAH ALAM, 21 JAN: Ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang lahir pada tahun 2008 boleh mula menuntut pembayaran manfaat bermula 22 Januari ini.

Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) memaklumkan tuntutan boleh dibuat secara dalam talian dengan melengkapkan dokumen sokongan bagi melancarkan proses permohonan.

Yayasan itu menerusi Facebook memaklukan, permohonan boleh dikemukakan melalui laman sesawang tawas.yawas.com.my atau Aplikasi YAWAS, mengikut fasa serta bulan kelahiran ahli.

Bagi Fasa 1, ahli yang lahir pada Januari hingga Mac boleh membuat permohonan tuntutan bermula 22 Januari sehingga 14 Mac, dengan pembayaran manfaat dilaksanakan dari 15 Mac hingga 31 Mac.

Bagi Fasa 2, ahli kelahiran April hingga Jun boleh membuat permohonan bermula April sehingga 14 Jun, manakala pembayaran manfaat akan dibuat dari 15 Jun hingga 30 Jun.

Seterusnya, Fasa 3 melibatkan ahli kelahiran Julai hingga September, dengan permohonan tuntutan dibuka bermula Julai sehingga 14 September dan pembayaran manfaat dari 15 September hingga 30 September.

Untuk Fasa 4, ahli yang lahir pada Oktober hingga Disember boleh mengemukakan tuntutan bermula Oktober sehingga 14 Disember dengan pembayaran manfaat dilaksanakan dari 15 Disember hingga 31 Disember.

Sekiranya ahli tidak membuat tuntutan dalam fasa yang ditetapkan, tuntutan masih boleh dibuat dalam fasa seterusnya.

Tempoh tuntutan adalah selama satu tahun dari tarikh hari lahir ke-18 ahli, tertakluk kepada terma dan syarat.