SHAH ALAM, 21 JAN: Aneka Walk di Seksyen 14, Shah Alam, yang menampilkan konsep hab komuniti moden serta menjadi tarikan baharu bandar raya, dijangka dibuka untuk operasi Februari ini.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim, menerusi Facebook berkata kerja-kerja terakhir dan persiapan sedang dijalankan bagi memastikan operasi berjalan lancar.
“Aneka Walk adalah sebahagian daripada pembangunan SA Sentral melalui pelaburan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Ia bakal menghidupkan semula laluan pejalan kaki antara Kompleks PKNS dan SACC Mall,” katanya.

Aneka Walk yang dilengkapi lampu dan ruang muzik menjadi laluan berbumbung yang menghubungkan kompleks utama, membawa elemen hiburan, pesta kebudayaan, membeli-belah dan makanan.
Dikendalikan KRU Entertainment, projek ini juga membuka peluang perniagaan dan meningkatkan ekonomi bagi usahawan tempatan.


