SHAH ALAM, 21 JAN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memperkukuh kerjasama strategik dengan universiti dan institusi pendidikan dalam bidang penyelidikan serta kajian lapangan bagi meningkatkan daya tahan pengurusan sumber air negeri.
LUAS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama tersebut merangkumi pemodelan hidrologi, pengesanan awal pencemaran serta pembangunan kaedah pemantauan lebih efisien selaras penggunaan teknologi Internet Benda (IoT).
“Dalam konteks perubahan iklim dan kemunculan ancaman pencemaran baharu, kolaborasi ini penting bagi menyokong perancangan adaptasi jangka panjang termasuk pengurusan risiko banjir dan kemarau serta perlindungan berterusan sumber air Selangor,” menurut kenyataan itu.
Selain institusi akademik, LUAS turut menekankan kerjasama rentas agensi, industri dan komuniti setempat bagi memastikan pelaksanaan pengurusan sumber air bersepadu yang lebih holistik.
Menurut LUAS, setiap dapatan kajian daripada institusi akademik, perunding mahupun pemantauan dalaman akan dinilai secara menyeluruh meliputi aspek kebolehgunaan operasi, impak terhadap kualiti air serta kesesuaian dengan kerangka perundangan sedia ada.
Data lapangan yang dikumpulkan pula berfungsi sebagai mekanisme pengesahan bagi memastikan hasil penyelidikan sejajar dengan realiti di tapak serta boleh dilaksanakan secara praktikal, sekali gus mengelakkan jurang antara analisis saintifik dan tindakan sebenar.
“Dapatan yang relevan akan diterjemahkan kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), garis panduan teknikal, tadbir urus pengurusan sumber air serta input kepada penggubalan dasar negeri,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ahli Bersekutu Institut Sains Laut dan Bumi Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Pauzi Zakaria berkata sokongan terhadap penyelidikan merupakan langkah tepat bagi memastikan sumber air bebas daripada bahan terlarang, meningkatkan bekalan air bersih serta menyokong keperluan industri.
Beliau berkata penggunaan teknologi dan penyelidikan saintifik terbukti berkesan apabila air mentah yang dirawat berjaya disalurkan kepada pengguna.
“Sokongan penyelidikan yang kukuh serta komitmen semua pihak termasuk kerajaan negeri mampu menangani isu keselamatan, kualiti dan kelestarian sumber air secara mampan,” katanya.
Sebelum ini, LUAS memaklumkan akan terus menyokong penyelidikan akademik berkaitan pengurusan sumber air melalui aktiviti kajian lapangan dan pengambilan sampel air di seluruh negeri.
LUAS turut menggalakkan pihak berkepentingan khususnya penuntut universiti meneroka sumber air negeri bagi memperkukuh pengalaman penyelidikan serta memahami peranan LUAS sebagai pengurus sumber air Selangor.



