Facebook masjid berunsur politik: JAIS siasat pengendali akaun, tindakan tegas diambil

21 Jan 2026, 2:07 AM
Facebook masjid berunsur politik: JAIS siasat pengendali akaun, tindakan tegas diambil

SHAH ALAM, 21 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan terhadap pengendali akaun Facebook sebuah masjid di Rawang yang didakwa berunsur parti politik susulan pendedahan di Facebook dan sebuah blog.

Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan itu diambil berikutan kebimbangan bahawa hantaran berkenaan menghina kuasa sah atau mengingkari perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga akan mengambil tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, yang boleh termasuk pemecatan jawatan sebagai pegawai atau ahli jawatankuasa masjid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menambah, pendirian JAIS dan MAIS adalah selaras dengan titah Sultan Selangor supaya masjid dan surau kekal bersikap neutral, tidak terlibat dalam politik atau perkara yang boleh menimbulkan perbalahan umat Islam.

“Baginda menitahkan agar MAIS dan JAIS tegas dalam perkara ini bagi memastikan masjid dan surau di Selangor terus kekal sebagai institusi yang mengambil sikap berkecuali, menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, seterusnya menjadi pusat dan nadi kekuatan umat Islam,” katanya.

Mohd Shahzihan turut menyeru umat Islam untuk menjadikan masjid dan surau sebagai pusat persepakatan dan kesatuan di peringkat kariah masing-masing.

“Berbezalah untuk memberi nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan menyucikan hati, bukan berbeza yang menidakkan perkara pokok dan asas agama, mengetepikan ilmu, adab, dan sikap dalam berbeza serta menanam hati dan perasaan yang penuh hasad, dendam kesumat, kebencian dan ekstrem,” katanya.