MPAJ perluas pemasangan Sistem Amaran Awal, pantau risiko tanah runtuh

20 Jan 2026, 10:01 AM
MPAJ perluas pemasangan Sistem Amaran Awal, pantau risiko tanah runtuh
MPAJ perluas pemasangan Sistem Amaran Awal, pantau risiko tanah runtuh
MPAJ perluas pemasangan Sistem Amaran Awal, pantau risiko tanah runtuh
MPAJ perluas pemasangan Sistem Amaran Awal, pantau risiko tanah runtuh

AMPANG JAYA, 20 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan memperluaskan pemasangan Sistem Amaran Awal (EWS) di kawasan cerun berisiko tinggi sebagai langkah proaktif memantau pergerakan tanah dan mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts Hasrolnizam Shaari berkata sistem berkenaan kini telah dipasang di beberapa lokasi dikenal pasti berisiko termasuk Bukit Antarabangsa dan Bukit Teratai.

Beliau berkata, ia melibatkan pemasangan instrumen pemantauan yang berupaya mengukur data cuaca khususnya kadar hujan secara masa nyata.

Jelasnya, data daripada sistem yang menggunakan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI) itu kemudiannya diterjemahkan kepada tahap risiko bagi memberi amaran awal dan membolehkan pihak berkuasa bertindak awal sekiranya ada potensi gelinciran cerun atau tanah runtuh.

“Kita telah memulakan pemasangan beberapa alat pemantauan risiko pergerakan tanah. Instrumennya menjurus kepada situasi cuaca. Jika berlaku hujan luar biasa atau jumlah hujan tinggi.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ts Hasrolnizam Shaari bercakap kepada media di Jalan Saga 17, Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya pada 20 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Ia dapat mengukur secara 'real time' kadar hujan dan akan diterjemahkan dalam bentuk risiko yang akan memberi notifikasi kepada pihak yang kita rasa perlu untuk memantau dengan segera,” katanya ditemui selepas melakukan tinjauan gelinciran tanah di Jalan Saga 17, Taman Bukit Teratai di sini, hari ini.

Hasrolnizam berkata, MPAJ merancang untuk memperluaskan pemasangan EWS ke lokasi lain yang dikenal pasti berpotensi tinggi, termasuk kawasan pembangunan dan pembinaan yang mempunyai elemen cerun.

“Tahun ini kita buat uji cuba dengan pelbagai kumpulan sasar, masyarakat dan agensi berkaitan untuk kita berikan taklimat dalam tempoh enam bulan ini mengenai sistem itu.

“Dengan permulaan itu kita juga akan perluas kepada pelbagai lagi pautan antaranya projek pembangunan atau pembinaan, pemaju di kawasan yang ada elemen cerun kita akan minta mereka untuk integrasikan dan memasang peralatan yang seumpamanya dan berpaut kepada sistem yang kita ada,” katanya.

Sebelum ini, MPAJ memaklumkan semua projek pembangunan baharu di kawasan berbukit sekitar Ampang Jaya diwajibkan memasang EWS sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan pembangunan, berkuat kuasa November lalu.