SHAH ALAM, 19 DIS: Semua projek pembangunan baharu di kawasan berbukit sekitar Ampang Jaya diwajibkan memasang Sistem Amaran Awal (EWS) sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan pembangunan, berkuat kuasa sejak bulan lalu.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan pengesanan awal terhadap risiko tanah runtuh.
“EWS berupaya mengesan perubahan persekitaran dan memberi amaran awal kepada pihak berkaitan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ di Menara MPAJ, semalam seperti dilapor The Star.
Menurut beliau, keperluan itu juga membolehkan MPAJ membina pangkalan data yang lebih menyeluruh bagi tujuan pemantauan cerun secara berterusan.
Setakat tahun ini, Hasrolnizam berkata EWS telah dipasang di beberapa lokasi cerun berisiko tinggi, antaranya di Taman Bukit Jaya, Jalan Wangsa 3, Jalan Bunga Melati 1 serta Jalan Mega 3 dan 5.
“Pemasangan akan diperluaskan ke kawasan lain, khususnya di tanah milik kerajaan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau memaklumkan MPAJ membelanjakan antara RM60 juta hingga RM70 juta bagi kerja-kerja berkaitan cerun sepanjang tempoh 10 tahun lalu, dengan peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Setiap tahun, kira-kira RM2 juta dibelanjakan untuk penyelenggaraan cerun dan RM2 juta lagi bagi kerja pembersihan serta pembaikan,” katanya.
Pada tahun ini, dua insiden direkodkan melibatkan runtuhan batu di Taman Bukit Permai pada November serta tanah runtuh di Kampung Bukit Sungai Puteh awal bulan ini.
Mengulas isu pokok tumbang, Hasrolnizam berkata kebanyakan kejadian terbaharu berpunca daripada pokok yang tidak diselenggara di tanah persendirian.
“Berdasarkan rekod kami, beberapa kes pokok tumbang sebelum ini berlaku di tanah persendirian yang tidak diselenggara,” katanya.
Beliau menjelaskan walaupun kawasan berkenaan berada di luar bidang kuasa MPAJ, pihak majlis tetap akan membantu kerja pembersihan dan pengalihan apabila insiden berlaku.
MPAJ, katanya, turut mengenal pasti beberapa kawasan yang memerlukan tindakan proaktif meskipun bukan di bawah bidang kuasa PBT berkenaan.
“Kami bercadang mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi memaklumkan kawasan ini memerlukan perhatian, khususnya di sempadan hutan simpan dan tanah persendirian,” katanya.


