SHAH ALAM, 19 OKT: Tindakan sebuah kedai runcit, dikendalikan warga asing beroperasi tanpa lesen mengundang padah apabila premis berkenaan disita dan diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Operasi penguatkuasaan di premis yang terletak di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan itu dijalankan susulan aduan awam berhubung aktiviti perniagaan mencurigakan di kawasan terbabit.
MBSJ menerusi Facebook memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
"Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan segera diambil dengan menyita barangan perniagaan berkaitan serta menutup premis mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan, pemantauan dan operasi bersepadu akan diteruskan secara konsisten di seluruh kawasan pentadbirannya bagi membanteras peniaga warga asing yang melanggar syarat pelesenan.








