SEPANG, 19 JAN: Ahli Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) baharu, P Sivakumar menekankan usaha meningkatkan tahap kebersihan dan menaik taraf kemudahan awam di daerah itu.
P Sivakumar berkata Sepang perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih memandangkan kawasan itu merupakan antara pintu masuk dan tumpuan utama pergerakan keluar masuk orang ramai, khususnya dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Sebagai anak jati Sepang yang turut menetap di sini, fokus utama saya adalah untuk meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal serta kerja pembersihan secara menyeluruh, selari dengan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai.
“Perkhidmatan kepada pembayar cukai ini sangat penting dan pada masa sama kita mahu mengukuhkan penglibatan masyarakat setempat.
"Dengan sokongan MPSepang dan peruntukan yang ada, kita akan melaksanakan lebih banyak program komuniti serta program anjuran Kerajaan Negeri,” katanya ditemui selepas Majlis Perakuan Menerima Jawatan Angkat Sumpah (Kali Kedua) Ahli Majlis MPSepang bagi penggal 2026 hingga 2027 di sini hari ini.
Menggalas jawatan sebagai ahli majlis memasuki tahun ke 14, Sivakumar turut berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek Lwi Kian Keong dan penduduk di situ kerana masih memberi kepercayaan dan sokongan kepadanya.
Selain itu, beliau turut memberi penekanan kepada usaha menaik taraf kemudahan awam sedia ada seperti dewan orang ramai, padang, dewan bola keranjang serta pusat sepak takraw bagi memastikan kemudahan tersebut kekal relevan dan dimanfaatkan oleh penduduk.
Beliau menegaskan, keutamaannya juga adalah untuk terus berkhidmat kepada pelabur, pembayar cukai dan masyarakat setempat, selain berusaha menyelesaikan setiap isu dan permasalahan rakyat setakat kemampuan yang ada.
Mengulas mengenai pembangunan Sepang, beliau berkata kawasan itu sudah lama tidak menerima pembangunan baharu, khususnya melibatkan perumahan moden dan kawasan komersial.
“Oleh itu, saya akan mencari jalan untuk membangunkan semula pekan Sepang agar ia dapat menarik pertambahan penduduk melalui pembangunan perumahan baharu serta kawasan komersial,” katanya.
Seramai 24 ahli MPSepang dilantik bagi penggal 2026-2027, berkhidmat dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.




