SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan susulan kejadian gelinciran tanah di Jalan Saga 17, Ampang semalam dengan turun padang menilai tahap keselamatan kawasan terjejas.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari meninjau lokasi bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Yew Jia Haur, pegawai teknikal serta penguat kuasa.
Menurut kenyataan MPAJ, hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada saliran paip bawah tanah milik Indah Water Konsortium (IWK) yang pecah.
“Pemeriksaan awal Jabatan Kejuruteraan MPAJ mendapati terdapat kemungkinan saliran paip IWK yang pecah menjadi punca utama kejadian ini,” menurut kenyataan tersebut.
Sebuah kenderaan dilaporkan terlibat dalam insiden itu dan sudah dialihkan Jabatan Penguatkuasaan MPAJ sebagai langkah keselamatan awal.
Bagi mengelakkan sebarang risiko kepada penduduk, kawasan terlibat ditutup serta-merta bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan secara menyeluruh.
MPAJ turut mengarahkan semua kenderaan yang diletakkan di sepanjang laluan berhampiran dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Keselamatan penduduk menjadi keutamaan kami dan MPAJ akan terus memantau situasi ini serta mengambil tindakan sewajarnya demi kesejahteraan komuniti setempat,” kata Hasrolnizam.
Langkah kawalan dan pemantauan rapi kini dilaksanakan secara berterusan oleh agensi berkaitan bagi memastikan keadaan kekal selamat.





