Tiga maut termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan dua kereta

18 Jan 2026, 2:10 PM
Tiga maut termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan dua kereta

SHAH ALAM, 18 JAN: Tiga individu termasuk dua kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Sungai Kob, Kulim, Kedah petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 petang, lapor Berita Harian.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dan sebuah Proton S70 yang bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Pemandu Perodua Viva tersepit dalam kenderaan manakala dua kanak-kanak lelaki yang berada di dalam kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kesemua tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, Proton S70 pula terbakar dan pemandunya seorang lelaki sempat keluar sebelum mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Menurutnya, dua kanak-kanak berkenaan dikeluarkan oleh orang awam manakala pemandu Perodua Viva dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas.

Operasi pemadaman kebakaran dibantu Pasukan Bomba Sukarela Kulim sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.