Kanak-kanak maut dicampak: Ajak bapa solat Isyak bersama jadi kenangan terakhir

22 Sep 2026, 12:11 AM
Kanak-kanak maut dicampak: Ajak bapa solat Isyak bersama jadi kenangan terakhir

KOTA TINGGI, 22 SEPT: Ajakan Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, untuk menunaikan solat Isyak berjemaah malam tadi menjadi kenangan terakhir keluarga sebelum kanak-kanak itu ditemukan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya, dalam kejadian di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini.

Nenek mangsa, Mahani Mad Som, 63, berkata sikap cucunya yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu berbeza daripada kebiasaan kerana inilah buat kali pertama dia mengajak bapanya solat bersama-sama.

“Semalam, dia berkelakuan lain sangat daripada biasa. Dia minta nak makan Maggi dengan telur cair, lepas itu dia ajak ayahnya sembahyang Isyak bersama-sama, sedangkan sebelum ini dia tak pernah ajak ayahnya sembahyang sekali.

“Cucu saya memang budak yang sangat baik dan bijak. Kalau kita ajar apa-apa, dia cepat sangat tangkap,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini hari ini.

Mahani berkata kehilangan cucunya itu disedari kira-kira 9 pagi selepas dia selesai bersarapan dan mendapati kanak-kanak berkenaan tiada di buaian sebelum meminta bapa mangsa mencarinya di sekitar kawasan rumah.

Mereka kemudian menemukan Putri Nur Afiyah Qalesya dalam keadaan tertiarap di alur sungai yang cetek sebelum bapanya mengangkat kanak-kanak itu.

“Hati saya rasa tak sedap apabila panggil dia dekat buaian tetapi tak ada sahutan. Kami terus cari dan jumpa dia dalam keadaan tertiarap. Ayahnya terus bergegas tarik dia keluar dari air,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sungai berkenaan terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mangsa dan laluan ke lokasi perlu melalui kawasan kebun tidak bertar.

Mahani berkata kanak-kanak di kawasan itu juga tidak pernah ke sungai berkenaan bersendirian kerana lokasinya jauh dari rumah dan perlu melalui kawasan kebun.

Bapa saudaranya mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Tampoi, serta dijadualkan mengambil bekalan ubat di Hospital Kota Tinggi pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata seorang suspek ditahan oleh anggota Balai Polis Kuala Sedili selepas polis menerima laporan kira-kira 9.30 pagi mengenai seorang lelaki mengamuk sambil bersenjatakan parang.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.