SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan lima notis kesalahan terhadap peniaga di sekitar kawasan Salak, Sepang susulan operasi pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan 14 Januari lalu.
MPSepang memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan oleh Unit Task Force Zon Tengah dengan tumpuan kepada pemeriksaan lesen perniagaan, halangan di kaki lima serta lorong belakang, selain pemantauan papan iklan bagi memastikan pematuhan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
“Operasi meliputi beberapa lokasi termasuk pekan Salak, Pusat Perdagangan Salak, Taman Desa Gembira dan Taman Desa Akasia,” menurut kenyataan MPSepang menerusi Facebook.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, tindakan sitaan dan pengeluaran kompaun dikenakan terhadap peniaga yang meletakkan barangan perniagaan di tempat awam mengikut Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Selain itu, tindakan turut diambil ke atas peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen mengikut Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Sepang) 2007.
Dalam pada itu, MPSepang menasihatkan semua peniaga agar memastikan lesen perniagaan sentiasa sah dan diperbaharui, selain tidak meletakkan sebarang halangan di kawasan awam yang boleh menjejaskan keselamatan serta keselesaan orang ramai.



