SHAH ALAM, 18 JAN: Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menganjurkan Bengkel Latihan Pengendalian Portal Halal Negeri Selangor bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyebaran maklumat halal.
JAIS memaklumkan bengkel berkenaan bertujuan memastikan pengurusan portal dapat dilaksanakan secara sistematik dan berpusat menerusi latihan formal, sekali gus membolehkan penyelarasan kerja dilakukan melalui amalan standard operasi yang seragam.
“Bengkel ini merupakan langkah strategik Bahagian Pengurusan Halal JAIS dalam memperkasakan promosi serta pengoptimuman penyebaran maklumat berkaitan pengurusan halal melalui laman web rasmi baharu, Portal Halal Selangor.
“Portal ini diwujudkan untuk memudahkan perkongsian maklumat berkenaan program-program halal yang telah atau akan dijalankan serta informasi penting lain berkaitan halal kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut JAIS, usaha itu juga diharap dapat memastikan Portal Halal Selangor sentiasa berfungsi dengan teratur serta memenuhi keperluan penyampaian maklumat halal secara berterusan.
Inisiatif berkenaan sekali gus memantapkan kedudukan Selangor sebagai negeri yang proaktif dalam pengurusan dan pembangunan ekosistem halal.
Pada 28 November lalu, JAIS turut menganjurkan sesi Pocket Talk Pensijilan Halal Cottage sempena program Selangor Halalvibe Fest 2025 dengan penekanan diberikan kepada kepentingan pengusaha memahami setiap aspek proses pensijilan halal.
Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Norakmal Mohamad berkata pensijilan halal bukan sahaja melibatkan pemilihan bahan mentah yang suci, malah merangkumi keseluruhan proses penyediaan termasuk aspek pemilihan pekerja.


