SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terus menjadi rujukan dalam pengurusan bandar apabila dijemput berkongsi amalan terbaik dalam Program Latihan Kepimpinan dan Pengurusan, semalam.
Menurut MPAJ, program anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) itu melibatkan barisan pengurusan Majlis Daerah Marang (MD Marang) sebagai platform perkongsian pengalaman dalam pengurusan dan pembangunan bandar.
“Program ini memberi peluang kepada barisan pengurusan MD Marang menimba ilmu serta mendapatkan pandangan strategik daripada MPAJ khususnya dalam pendekatan tadbir urus dan pengurusan bandar yang berkesan.
"MPAJ yang diwakili Pengarah Jabatan Korporat dan Teknologi Maklumat, Rosliza Mohd juga berbesar hati untuk berkongsi ilmu dengan pengisian aktiviti seperti Analisis SWOT bagi membolehkan kami memberi cadangan penambahbaikan strategik bagi MD Marang,” katanya di Facebook.
MPAJ berkata, program itu membantu peserta memahami pendekatan tadbir urus serta pelaksanaan inisiatif bandar secara menyeluruh.
Dalam pada itu, MPAJ merakamkan penghargaan atas jemputan tersebut dan berharap kerjasama serta perkongsian ilmu dapat diteruskan bagi memperkukuh pengurusan pihak berkuasa tempatan.


