SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Negeri akan memberi penekanan utama dalam sektor penjagaan dengan menyediakan latihan dan pendanaan sosial kepada caregiver (penjaga) pada tahun ini, seiring dengan keperluan masyarakat, kata EXCO Kebajikan Masyarakat.
Anfaal Saari berkata, aspek penjagaan melibatkan wanita dan caregiver kepada golongan seperti Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan pemerhatian yang lebih sistematik dan berstruktur.
“Untuk tahun ini, saya melihat fokus kepada penjagaan, latihan dan juga pendanaan sosial. Kita akan memberi perhatian khusus kepada wanita dan juga caregiver yang menjaga OKU, warga emas dan kanak-kanak,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menjelaskan, sektor penjagaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kerja kebajikan, sebaliknya sebagai satu peluang pekerjaan yang mampu menjana pendapatan.
“Yang paling penting, kita melihat aspek penjagaan ini sebagai peluang pekerjaan dan menjadi trend semasa. Jadi saya akan meneliti menyediakan peluang pendanaan sosial dan pada masa sama mahu meluaskan lagi latihan penjagaan kepada caregiver,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anfaal memaklumkan peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2026 untuk golongan wanita memberi ruang yang lebih luas untuk pihaknya memperkukuh program sedia ada berkaitan kesejahteraan sosial.
“Sebagai contoh, program MamaKerja yang menerima peruntukan RM5 juta, saya berharap ia dapat membantu lebih ramai wanita untuk kembali ke sektor pekerjaan,” katanya.
Oktober lalu, Kerajaan Negeri buat kali pertama menganjurkan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai langkah penting merealisasikan visi menjadikan Selangor sebagai Hab Penjagaan Rantau Asia-Pasifik.
Menampilkan empat komponen utama iaitu Sesi Townhall Penjagaan, Forum Penjagaan, Padanan Perniagaan Prihatin dan Ekspo Penjagaan melibatkan penyertaan daripada 54 pempamer termasuk daripada luar negara seperti Finland, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Australia serta India.
54 pempamer mengetengahkan pelbagai produk, kemahiran dan teknologi penjagaan inovatif yang menonjolkan potensi perniagaan dalam ekonomi penjagaan yang semakin berkembang.




