SMK Taman Melawati kutip lebih RM500,000 atasi isu kepadatan pelajar

18 Jan 2026, 1:25 AM
SMK Taman Melawati kutip lebih RM500,000 atasi isu kepadatan pelajar

AMPANG JAYA, 18 JAN: Lebih RM500,000 berjaya dikumpulkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Taman Melawati melalui majlis makan malam amal bagi menangani isu kepadatan pelajar di sekolah itu.

Daripada jumlah tersebut, RM100,000 disumbangkan oleh Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI seperti diumumkan oleh Dato' Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis berkenaan.

Pengetuanya, Jagdave Singh Avtar Singh berkata sekolah itu kini menampung 2,524 pelajar, dengan pertambahan lebih 100 pelajar setiap tahun, sedangkan kemudahan sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

“Isu utama kita adalah kepadatan. Dewan sedia ada hanya boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang, sedangkan jumlah pelajar satu sesi sahaja sudah melebihi kapasiti.

"Bilangan infrastruktur masih sama termasuk tandas serta kipas tidak mencukupi.

“Sekolah pada masa kini tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata dan perlu berusaha mencari sumber kewangan alternatif melalui kerjasama pihak luar,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Melawati yang berlangsung di Pusat Konvensyen MPAJ di sini, malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari serta EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.

Menurut Jagdave, dana yang dikumpulkan akan dimanfaatkan antaranya bagi pembinaan sebuah dewan terbuka untuk kegunaan perhimpunan serta pelbagai aktiviti sekolah.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati Dr Jagdave Singh Avtar Singh. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau memaklumkan majlis yang julung kali dianjurkan itu menerima sambutan menggalakkan apabila hampir 64 meja berjaya dijual, melibatkan sumbangan alumni, syarikat korporat, bekas guru serta ibu bapa pelajar.

“Saya berjaya mencari bekas guru yang berkhidmat di sini yang membeli meja makan malam ini pada RM10,000. Terdapat juga ibu bapa pelajar menaja antara RM2,500 hingga RM5,000.

“Kita berikhtiar melalui kolaborasi dengan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO), alumni serta ibu bapa. Tahun lalu, tanpa majlis makan malam amal, kami berjaya mengumpul hampir RM200,000 hasil kerjasama pihak luar,” katanya lagi.

Mengulas sumbangan Kerajaan Negeri, Jagdave berkata beliau tidak menjangkakan jumlah bantuan yang besar memandangkan komitmen kerajaan dalam membantu sekolah lain di Selangor.

“Saya tidak menjangkakan jumlah sebesar itu kerana memahami beliau (Amirudin) mempunyai komitmen menyediakan dana untuk sekolah lain.

“SMK Melawati bukanlah sekolah yang daif perlu dibantu sebegini banyak tetapi amat bersyukur atas sumbangan yang diberikan,” kongsi Jagdave.