SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Selangor akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi menangani isu sekolah padat serta memperkasa kualiti pendidikan di negeri itu.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut menjadi fokus utama perbincangan ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Pendidikan JPNS, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim di pejabatnya, pagi ini.
Menurut beliau, pertemuan berkenaan merupakan yang pertama selepas pelantikan Wan Nor Ashikin dan menjadi platform penting untuk menyelaraskan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan JPN Selangor.
“Selangor merekodkan hampir satu juta pelajar di pelbagai peringkat dan merupakan antara negeri dengan jumlah pelajar sekolah tertinggi di Malaysia.
"(Jadi) Dalam pertemuan ini, kami turut membincangkan isu sekolah padat bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pada masa sama, beliau menegaskan, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan JPNS amat penting dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh.
“Saya menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada tiga elemen utama pendidikan iaitu pelajar, guru dan ibu bapa bagi memastikan pembangunan pendidikan yang seimbang dan menyeluruh,” katanya.
Menurut Amirudin, pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan menerusi agensi negeri seperti Yayasan Menteri Besar Selangor (Yayasan MBI) dan Yayasan Selangor akan terus diperkukuh melalui kerjasama bersepadu bersama JPN Selangor.
“InsyaAllah, kerjasama strategik ini akan terus diperkasakan demi masa depan anak-anak Selangor,” katanya.


